mcmc
Pendidikan

Kecuaian Manusia Penyumbang Kepada Jenayah Siber

security

Jenayah siber merupakan jenayah komputer yang baharu pada abad ini. Jenayah siber ini terdiri daripada unsur penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian maklumat, penggodaman dan lain-lain. Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh sebab tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.

Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbiran sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan berpendapat penduduk mereka.

http://www.cybersecurity.my/en/index.html

Sikap manusia

Sikap manusia memang sesuatu yang sukar dikawal. Kita tidak boleh mengubah kelakuan seseorang melainkan orang itu sendiri mengubahnya. Jenayah siber sering dilakukan oleh manusia yang mempunyai kelakuan yang negatif. Mereka menyerang sistem hanya sekadar suka-suka ataupun mencuba ilmu yang baru mereka pelajari. Kebanyakan mereka ini adalah remaja ataupun dalam lengkongan 20 an. “Pertumbuhan penduduk dunia kira-kira 20 peratus hingga tahun 2010, dengan 95 peratus daripadanya berlaku di negara membangun, dan kemunculan golongan remaja, berdasarkan pengalaman sejarah, merupakan faktor utama ketidakstabilan.” Leftenan Jeneral Patrick M. Hughes, Pengarah Agensi Perisikan Pertahanan, Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan ini kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat pada Februari 1997.

Golongan remaja mempunyai sikap yang sukar diramal. Mereka belum cukup matang untuk berfikir tentang akibat jenayah yang mereka lakukan. Lebih malang kerana kecanggihan teknologi gagal mengenal pasti penceroboh. Misalnya, pada Februari dan Mac 2000, pencerobohan telah berlaku terhadap lebih 500 sistem komputer tentera, kakitangan kerajaan, dan sektor swasta di Amerika Syarikat. Ketika itu Amerika bersiap sedia dengan angkatan tenteranya di Teluk Parsi ekoran ketegangan antara Iraq dengan pemeriksa senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Apabila berlaku pencerobohan sedemikian, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesyaki Iraq, tetapi terbukti bahawa pihak yang bertanggungjawab ialah dua orang juvenil dari Cloverdale, California, dan beberapa orang penduduk Israel.

Soalannya dari mana remaja atau mereka yang gemar menceroboh mempelajari ilmu ini. Mereka ini sebenarnya mahir tentang komputer. Mereka bukan belajar khusus untuk menceroboh tetapi dengan mempelajari ilmu komputer secara tidak langsung. Mereka boleh mencuba untuk menceroboh sistem atau cuba mencipta virus. Oleh itu semakin tinggi teknologi IT berkembang semakin tinggi juga teknologi bagaimana jenayah dilakukan.

“Pembangunan teknologi meningkatkan keselamatan sistem maklumat secara keseluruhan,” kata Gillespie dan Nakatomi dari Direktorat Sains, Teknologi, dan Industri OECD. “Namun begitu, teknologi juga menyediakan kapasiti kepada bakal penyerang atau penceroboh untuk melakukan penerobosan yang lebih pantas dengan kesan yang sangat luas dan mendalam, yang sukar dijejak.”

Oleh itu undang-undang siber tidak bermakna jika masih terdapat orang yang bersikap negatif dan menggunakan kemajuan komputer ke arah negatif.

sumber: wikipedia Bahasa Melayu