PELAJAR SEKOLAH DI KEDAH DIPELAWA SERTAI PERTANDINGAN VIDEO PENDEK
ALOR SETAR – Kalangan pelajar sekolah di Kedah dipelawa untuk menyertai pertandingan video pendek berdurasi tiga minit anjuran Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Pembangunan Insan negeri, Dr. Salmee Said.
Menurut Salmee, pertandingan bertemakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan tersebut bertujuan membantu mengurangkan tekanan dalam kalangan pelajar, menggalakkan kreativiti selain membantu mereka mengisi masa lapang di rumah.
Tambahnya, penyertaan para pelajar juga diharap dapat menambah minat mereka untuk mendalami bidang pembuatan video dan multimedia.
“Video dihasilkan perlu menerapkan nilai-nilai murni melibatkan aktiviti di bulan Ramadan sepanjang tempoh PKP.
“Penyertaannya terbuka kepada semua pelajar dan terbahagi kepada empat kategori,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Penganjuran pertandingan itu turut mendapat kerjasama Institute Of Creative Humanities & Multimedia Innovation (ICHMI), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyumbang tenaga selaku juri.
Menurutnya, empat kategori tersebut adalah menengah atas, menengah rendah, sekolah rendah tahap dua dan sekolah rendah tahap satu.
Katanya bagi kategori menengah atas, penyertaan melibatkan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima sementara menengah rendah melibatkan pelajar tingkatan satu dan dua.
“Para pelajar darjah empat, lima dan enam dikategorikan sebagai sekolah rendah tahap dua manakala pelajar darjah satu, dua dan tiga akan masuk ke kategori sekolah rendah tahap satu,” katanya.
Tambahnya, hadiah ditawarkan berupa wang tunai berjumlah RM500 bagi tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua dan RM200 untuk tempat ketiga bagi semua kategori.
“Selain itu terdapat juga hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM100 untuk lima peserta dalam setiap kategori,” katanya.
Jelasnya, tarikh penyertaan bermula dari 1 hingga 15 Mei 2020 sementara keputusan akan diumumkan pada 26 Mei 2020.
“Para peserta hanya perlu menghantar video penyertaan ke pautan tiny.cc/jomjoin bagi menyertai pertandingan ini,” katanya.